Monday, May 3, 2010

Kontraktor didenda 'ceroboh' akaun e-mel Menteri Kewangan

PUTRAJAYA 3 Mei - Dengan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang komputer, seorang kontraktor berjaya menceroboh akaun e-mel Menteri Kewangan di laman web www.treasury.gov.my.

Pemuda berusia 28 tahun itu kemudian menyamar sebagai Menteri Kewangan dengan menghantar e-mel kepada dua pegawai Kementerian Kewangan untuk mendapatkan tender projek atau peluang perniagaan.

Namun kecekapan pegawai kementerian tersebut berjaya mengelak daripada terpedaya dengan 'e-mel palsu' itu sekali gus menghindarkan kredibiliti kementerian itu daripada terjejas dan mengalami kerugian.

Hari ini, pemuda itu menerima padah apabila dia didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan menceroboh akaun e-mel tersebut sebelum menyamar sebagai Menteri Kewangan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Rashid Narayanan didakwa melakukan capaian tanpa kuasa terhadap e-mel ybmk@treasury.gov.my di laman web www.treasury.gov.my dengan menyamar sebagai Menteri Kewangan dengan niat untuk mengakibatkan kerugian kepada kementerian itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di sini pada pukul 9.42 pagi, 12 April lalu.

Bagi tuduhan kedua, pemuda yang beralamat di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, turut didakwa melakukan perbuatan yang sama di tempat dan tarikh yang sama.

Kedua-dua dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM150,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan denda RM6,000 atau penjara 10 hari bagi setiap pertuduhan terhadap Muhammad Rashid yang merupakan tertuduh pertama dihukum di bawah Seksyen tersebut.

Mengikut fakta kes, e-mel pertama dihantar tertuduh ke alamat e-mel milik Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan, Datuk Fauziah Yaacob untuk meminta nombor telefon bimbit pegawai berkenaan.

E-mel kedua pula dihantar ke alamat e-mel pembantu peribadi Fauziah, Zaleha Yusof yang antara lain mendakwa beliau (Menteri Kewangan) ketika itu berada di Amerika Syarikat dan memintanya melayan permohonan 'orang beliau' yang akan mencarinya bagi tujuan peluang perniagaan.

Kedua-dua e-mel itu turut menyatakan ia adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa.

Tertuduh kemudian didakwa menghubungi Zaleha dengan memperkenalkan diri sebagai Adam daripada syarikat Rectro Sdn. Bhd. yang ingin menyemak tender.

Siasatan dengan sebuah syarikat telekomunikasi menunjukkan panggilan itu dibuat daripada telefon bimbit tertuduh dan semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia pula mendapati isteri tertuduh, Yusliza Abdul Rahim ialah ahli Lembaga Pengarah Rectro.

Terdahulu, dalam rayuannya, Muhammad Rashid yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah yang mengendalikan pendakwaan bersama Hamidi Mohd. Noh memohon hukuman setimpalkerana perbuatan menceroboh akaun e-mel Menteri Kewangan boleh menyebabkan orang ramai tidak mempercayai keselamatan laman web kementerian itu.

Tegas beliau, pencerobohan itu mencemarkan nama Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri sendiri kerana ia seolah-olah menunjukkan pemimpin negara memberikan projek kepada orang yang dikenalinya.

Tertuduh dibebaskan selepas membayar denda.

Source : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_03.htm

No comments: