Monday, May 10, 2010

Kes curi identiti pengguna internet terus meningkat

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2010/05/06
Pelanggan didapati tak sedar laman web bank dilayari palsu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 446 daripada 1,329 kes pencerobohan internet yang dilaporkan pada suku pertama tahun ini membabitkan cubaan mencuri identiti pengguna internet, termasuk kata nama dan kata laluan akaun internet.

Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Kawalan Mutu Cyber Security Malaysia, Dr Solahuddin Shamsuddin, berkata jumlah itu meningkat 52 peratus bagi tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 214 kes.

Beliau berkata, cubaan mencuri identiti pengguna internet itu berkaitan dengan pencerobohan maklumat akaun pelanggan bank, khasnya bagi mencuri kata nama atau ‘username’ dan kata laluan atau password’ rahsia.

“Penipuan berlaku apabila pelanggan bank tidak menyedari laman web bank yang mereka layari adalah palsu kerana memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan laman web asli.

“Apabila mereka memasukkan kata nama dan kata laluan pada laman web palsu, maklumat peribadi dan akaun mereka dapat dicuri oleh penggodam yang kemudian dimanipulasi untuk pelbagai tujuan penipuan termasuk mengeluarkan wang milik mangsa,” katanya ketika sesi bual bicara sempena pelancaran produk pelindung komputer Kapersky PURE, di sini semalam.

Kapersky PURE adalah produk yang berupaya melindungi komputer daripada pencerobohan dan gangguan termasuk antivirus, kawalan terhadap internet, aplikasi, kata laluan, kata kemasukan, maklumat peribadi dan sistem operasi.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Solahuddin berkata, berdasarkan siasatan Siber Security Malaysia, laman web bank palsu yang dilayari mangsa itu berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata, apabila menerima aduan berhubung pencerobohan internet, Cyber Security Malaysia menerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Komputer Malaysia (MyCert) akan melaporkan kepada pasukan bertindak di negara yang dikenal pasti menjadi pusat penceroboh supaya memotong khidmat penyedia khidmat internet (ISP).

“Biasanya kita dapat menghentikan gangguan internet ini dengan pantas hasil hubungan baik Malaysia dengan negara memiliki pasukan seperti MyCert,” katanya.

Sementara itu, Solahuddin berkata, 80 peratus atau 504 daripada 1,329 kes pencerobohan internet yang dipandang serius pihaknya ialah perbuatan merosakkan laman web termasuk milik agensi kerajaan.

Beliau juga berkata, sebanyak 3,564 kes pencerobohan internet dilaporkan sepanjang 2009 dengan 1,766 membabitkan pencerobohan terhadap sistem, manakala cubaan mencuri identiti pengguna internet sebanyak 1,022 kes.

“Kita mengambil berat perbuatan merosakkan laman web kerana ia akan mengganggu perjalanan sistem internet agensi yang terbabit, proses capaian dan perayauan selain menimbulkan kekeliruan kepada pengguna,” katanya.

Sumber & Kredit : http://www.bharian.com.my/

No comments: