Tuesday, May 11, 2010

Dialog Pengurusan Keselamatan Cybersecurity, Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia

11 Mei, 2010 18:57 PM

KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Maklumat merupakan aset berharga masa kini dan kehilangan maklumat penting dan kritikal mampu melumpuhkan operasi sesebuah organisasi, demikian menurut CyberSecurity Malaysia.

Organisasi-organisasi kini menjadi sasaran kepada penjenayah siber dan sebarang serangan atau sabotaj yang dilakukan sama ada disedari atau tidak, mampu mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Sehubungan itu, CyberSecurity Malaysia bersama-sama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia hari ini menganjurkan Majlis Dialog Pengurusan Keselamatan Perlindungan Sasaran Penting dan Bengkel Kesedaran Pelaksanaan Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (ISMS) Peringkat Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Datuk Haji Johari Haji Jamaluddin berkata objektif utama majlis dialog dan bengkel itu adalah untuk memberi kesedaran tentang pentingnya pelaksanaan pensijilan ISMS kepada organisasi yang dikenal pasti sebagai Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII).

"Selain itu, majlis dialog dan bengkel ini diadakan supaya CNII terbabit dapat mengenal pasti skop pensijilan ISMS serta produk dan perkhidmatan kritikal mereka kepada masyarakat dan negara."

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan kajian untuk mengadakan Dasar Keselamatan Siber Nasional pada 2005 yang bertujuan menilai dan menangani risiko yang akan dihadapi oleh CNII", kata Johari.

Menurutnya, dasar itu yang diterima untuk perlaksanaan pada 2006 mengariskan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko ancaman siber terhadap CNII termasuklah mengenal pasti langkah keselamatan siber yang tepat, membangunkan program keselamatan siber yang menyeluruh dan kerangka kerja melindungi CNII.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia, Zahri Yunos berkata dasar Keselamatan Siber Nasional telah dirangka sebagai pendekatan yang komprehensif dan bersepadu dalam memelihara e-kedaulatan negara dan menangani isu berkaitan keselamatan siber terutamanya ke atas Prasarana Kritikal Maklumat Negara.

"Dasar tersebut mentakrifkan CNII Malaysia sebagai aset, sistem dan fungsi yang penting kepada negara di mana sebarang gangguan atau kemusnahan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi, imej keselamatan dan pertahahan negara, keupayaan kerajaan untuk berfungsi, dan keselamatan dan kesihatan awam.

"Salah satu fokus utama dalam dasar ini adalah pematuhan dan penggunaan standard keselamatan maklumat oleh agensi atau organisasi CNII", katanya.

-- BERNAMA

Source and credit : http://www.bernama.com/

No comments: