Wednesday, April 28, 2010

SKMM terima 165 aduan terhadap laman web

KUALA LUMPUR 28 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 165 aduan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini berhubung kandungan laman web atau blog yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, daripada jumlah tersebut, 90 aduan adalah bagi kandungan lucah, 72 kandungan bersifat mengancam atau jelik dan tiga aduan bagi kandungan berunsur palsu.

"Bagi kandungan bersifat lucah, tindakan siasatan dan sekatan akan dilakukan.

"Selain itu, laporan penyalahgunaan juga akan dihantar kepada moderator laman-laman web sosial seperti Facebook, blogspot dan YouTube," katanya ketika menjawab soalan Datuk Zaitun Mat di Dewan Negara hari ini yang bertanyakan jumlah aduan yang diterima SKMM berhubung kandungan laman web atau blog mengikut AKM 1998.

Katanya, bagi kandungan bersifat mengancam dan jelik serta kandungan palsu pula, nasihat dan amaran akan dikenakan oleh SKMM kepada pemilik laman-laman berkenaan dan sekiranya cukup bukti bagi mensabitkan kesalahan, pendakwaan boleh dikenakan terhadap pihak tersebut.

Menjawab soalan tambahan Fatimah Hamat yang ingin tahu langkah kerajaan dalam menangani laman web lucah yang mudah dilayari di kafe siber, Joseph Salang berkata,SKMM setakat ini telah menutup serta-merta 81 laman web yang didapati menerapkan unsur lucah seperti menyediakan video aksi lucah dan perkongsian cerita lucah dengan teman berbual.

"Ada antara laman web sosial yang turut mengandungi elemen lucah walaupun telah mendapat aduan tetapi tidak dapat diambil tindakan memandangkan moderator laman web tersebut mendapati ia dianggap tidak lucah disebabkan oleh faktor budaya negara masing-masing," katanya. - BERNAMA

Sumber Capaian : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm

No comments: