Tuesday, February 9, 2010

SKMM siasat 352 kes seleweng maklumat dalam internet

KUALA LUMPUR: Sebanyak 352 kes penyelewengan maklumat dalam internet telah disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu 13 kes dibawa ke mahkamah, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, semua kes yang telah dibawa ke mahkamah disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Justeru, pengamal media terutamanya media baru (dalam talian) diingatkan lebih bertanggungjawab dalam memastikan penulisan mereka selaras dengan peruntukan undang-undang yang digunapakai.

"Golongan ini juga perlu melaporkan maklumat yang benar dan bukannya penyelewengan yang akan mengakibatkan masyarakat berpecah-belah," katanya dalam ucapan pada pelancaran akhbar dalam talian Makkal Osai di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Mohd Ali Mohd Noor.

Rais berkata, sepanjang tahun lalu juga sebanyak 38 kes telah didenda atau dikompaun dengan jumlah kutipan RM460,000, manakala 88 kes telah ditutup oleh pendakwa raya atas sebab-sebab tertentu, sama ada tidak cukup bukti ataupun atas budi bicara jabatan itu.

Mengenai akhbar Makkal Osai, Rais berkata pelancaran versi dalam talian itu secara tidak langsung memperlihatkan pencapaian akhbar yang selari dengan arus teknologi masa kini dan sewajarnya dicontohi oleh akhbar berbahasa Tamil lain.

Namun, beliau difahamkan pengurusan akhbar berbahasa Tamil di negara ini mengalami kekangan di mana kurangnya sokongan pengiklan dengan hanya 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pengiklan di negara ini.

"Oleh yang demikian, saya berharap kepada pengiklan supaya memberikan sokongan kepada akhbar Tamil di negara ini yang pengedarannya mencecah 100,000 manakala jumlah pembacanya hampir 400,000 orang setiap hari," katanya.

Akhbar Makkal Osai mula diterbitkan secara mingguan sejak 1992 dan seterusnya diterbitkan setiap hari mulai 2005 dengan purata jualan 52,000 nashkah sehari dan bermula hari ini versi dalam talian boleh dilayari menerusi www.makkalosai.com.my. - Bernama

Sumber capaian : Berita Harian

No comments: