Monday, February 22, 2010

Perunding keselamatan China dipercayai hasilkan spyware serang Google

BEIJING 22 Feb. - Penganalisis kerajaan Amerika Syarikat (AS) percaya seorang lelaki China yang mempunyai rangkaian dengan kerajaan telah menulis bahagian utama program perisikan atau spyware yang digunakan dalam serangan siber ke atas Google pada tahun lepas, lapor akhbar The Financial Times hari ini.

Lelaki tersebut, seorang perunding keselamatan ketika berusia 30-an, menyiarkan bahagian program itu pada sebuah forum penggodam di mana dia menjelaskan ia sebagai sesuatu yang sedang 'diusahakan' olehnya, menurut akhbar tersebut, memetik seorang penyelidik yang tidak dikenal pasti dan bekerja untuk kerajaan AS.

Pereka spyware tersebut bekerja sebagai seorang penulis bebas dan tidak melancarkan serangan itu, namun pegawai China mendakwa, mereka mempunyai 'laluan masuk khas' ke dalam programnya, menurut laporan itu lagi.

"Sekiranya dia mahu menjalankan kajian di bawah kemampuannya, dia perlu mematuhi peraturan," lapor akhbar itu yang memetik kata penyelidik kerajaan AS itu.

"Mungkin tiada anggota berpakaian seragam yang memerhatikannya dari belakang, namun tiada jalan lain untuk sesiapa yang memiliki tahap kemahiran sepertinya melarikan diri daripada perkara itu,'' kata laporan itu.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan bagaimana penganalisis itu mengetahui mengenai hubungan antara lelaki terbabit dengan pihak kerajaan.

Dakwaan terhadap spyware itu merupakan episod terbaru dalam kemelut yang melanda Google dan AS terhadap China berhubung tembok kawalan Internet dan kelompok penggodam.

Pada Januari lalu, syarikat enjin carian gergasi Internet itu, Google, mengancam untuk berundur daripada China dan menutup portal bahasa Cinanya, Google.cn selepas tidak berpuas hati dengan lembaga tapisan dan serangan siber dari China.

Washington menyatakan sokongan mereka berhubung kritikan itu dan menggesa Beijing supaya menyiasat aduan serangan dengan mendalam dan secara telus.

Sebelum ini, Beijing menyatakan bahawa negaranya menentang gejala menggodam.

Laporan The Financial Times turut memetik sumber yang menyokong laporan akhbar The New York Times bahawa penganalisis telah mengesan serangan siber itu di dua buah institusi pendidikan China iaitu di Universiti Jiaotong Shanghai dan Sekolah Vokasional Lanxiang. - Reuters


Sumber Capaian : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_11.htm

Kredit : www.utusan.com.my

No comments: