Friday, January 22, 2010

Kaedah canggih kesan jenayah


sama seperti pakar forensik di hospital, kakitangan Forensik Digital di CyberSecurity juga terlibat dalam membantu menyelesaikan pelbagai jenis kes jenayah.


DUA contoh tersebut adalah antara kes biasa daripada beratus-ratus jenayah siber yang berlaku di negara ini.

Ini belum lagi jenayah siber yang melibat perbankan seperti kad kredit, menggodam laman web (sesawang) atau mewujudkan perang siber.

Jika dahulu penjenayah perlu hadir di tempat kejadian tetapi kini penjenayah boleh melakukan jenayah walaupun tidak berada di lokasi.

Justeru jika terdapat pakar forensik di hospital untuk menyelesaikan kes pembunuhan, rogol atau culik begitu juga dengan dunia siber.

Bagi kes jenayah siber, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu CyberSecurity Malaysia diberikan peranan yang besar bagi menanganinya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (B) Husin Jazri berkata, Cyber Forensics yang biasanya digunakan adalah merujuk kepada Forensik Digital.

"Forensik Digital adalah aplikasi kaedah saintifik dalam pemeriksaan dan analisis, yang dilakukan ke atas bahan storan digital yang terlibat dalam siasatan kes jenayah atau sivil.

"Hasil penganalisaan tadi akan digunakan untuk dijadikan bahan bukti digital yang boleh digunapakai di mahkamah," katanya.

Biasanya menurut Husin, golongan yang sering terdedah kepada jenayah siber adalah mereka tidak mendapat pendedahan serta pengetahuannya.

Selain itu mereka yang tidak mengambil berat aspek keselamatan terhadap sistem komputer mereka juga merupakan golongan yang berisiko.

"Biasanya mereka ini melibatkan diri dalam laman rangkaian sosial seperti facebook.com, friendster.com, tagged.com dan myspace.com.

"Di sini, mereka yang kurang pengetahuan mengenai sistem komputer mempunyai risiko tinggi menjadi mangsa kepada jenayah komputer dan jenayah berkaitan dengan dengannya," katanya.

Justeru CyberSecurity Malaysia berperanan memberikan bantuan dari aspek teknikal kepada pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan analisis terhadap bahan bukti digital seperti komputer, telefon bimbit dan pemain digital mudah alih.

Husin berkata, CyberSecurity Malaysia berkebolehan untuk menganalisis sebarang jenis media storan digital dan sentiasa berusaha untuk memahami apa yang berlaku atau apa yang disimpan di dalamnya.

kursus dan latihan

CyberSecurity Malaysia juga telah membantu dari segi memberikan kursus dan latihan mengenai forensik digital kepada pegawai-pegawai penguatkuasa kerajaan dan juga membantu Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dalam modul keselamatan siber.

Selain itu CyberSecurity Malaysia juga terlibat dalam memberikan ceramah berkaitan forensik digital di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Ini termasuk juga memberikan penerangan di program kesedaran yang berkaitan dengan ancaman siber kepada orang awam.

CyberSecurity Malaysia berperanan memberikan bantuan dari aspek teknikal kepada pihak berkuasa tempatan.

Antara jenayah siber yang biasa ditangani terdiri dari penipuan internet, laman web skim cepat kaya, pemalsuan dokumen, penyalahgunaan laman blog untuk menyebarkan fitnah atau hasutan, penyebaran video dan gambar lucah, perisian cetak rompak, kecurian identiti atas talian, atau pencerobohan terhadap sistem maklumat.

Bagaimanapun CyberSecurity Malaysia tidak mengumpul statistik jenayah siber kerana hanya pihak penguatkuasa yang menyimpan rekod jenayah siber.

"Pihak kami hanya menyimpan maklumat dan statistik bagi insiden-insiden yang dirujuk kepada kami melalui Pusat Bantuan Cyber999 dan juga makmal forensik digital sahaja.

"Bagi tahun ini, setakat 30 November 2009, CyberSecurity Malaysia telah membantu pihak berkuasa menganalisis sebanyak 338 kes forensik digital, berbanding 298 kes sepanjang tahun 2008," katanya.

Seperti yang disebutkan, CyberSecurity Malaysia berperanan memberikan bantuan dari aspek teknikal kepada pihak berkuasa tempatan.

Bantuan dari segi kajian dan analisis forensik digital merupakan sebahagian sahaja daripada rangkaian nilai dan proses penyelesaian jenayah siber.

Kebanyakan jenayah di alam siber juga merupakan jenayah di alam nyata, oleh itu undang-undang sedia ada boleh digunakan dan masih digunakan untuk mendakwa pesalah di alam siber.

Sebagai contoh, kita lihat kes-kes hasutan yang biasanya dilakukan di alam nyata, tetapi kini hasutan mula disebarkan melalui alam siber.

Bagaimanapun, Akta Hasutan 1948 tetap digunakan sama ada kesalahan hasutan itu dilakukan melalui alam siber ataupun tidak. (Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut.)

Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah).

Ada juga undang-undang yang dirangka khas untuk mengendalikan kes-kes berkaitan alam siber seperti Computer Crime Act 1997 atau Akta Jenayah Komputer 1997 dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

melengkapkan diri

Akhir sekali Husin berpesan, pengguna hendaklah sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan peraturan semasa berada di alam siber.

Sebarang petua mengenai keselamatan internet dan siber, para pengguna Internet disarankan supaya mengunjungi laman web www.cybersafe.my - yang dibangunkan khusus oleh CyberSecurity Malaysia dalam meningkatkan kesedaran keselamatan Internet dan siber di kalangan rakyat Malaysia.

Pengguna yang ragu-ragu terhadap sesuatu laman web boleh merujuk kepada CyberSecurity Malaysia di URL http://www.cybersecurity.my dan hendaklah merujuk insiden yang dialami kepada khidmat Pusat Bantuan Cyber999@cybersecurity.my

"Jangan terlibat dengan sebarang bentuk jenayah dan jenayah alam siber adalah sama dengan jenayah yang lain.

"Jika jenayah di alam nyata meninggalkan kesan DNA, penjenayah siber pula meninggalkan jejak bukti digital," katanya.

Orang awam juga boleh mendapatkan sebarang maklumat mengenai ancaman siber di laman web CyberSecurity Malaysia atau menghubungi perkhidmatan Pusat Bantuan Cyber999 jika terdapat sebarang keraguan dan ancaman siber dari masa ke semasa.

Pusat Bantuan Cyber999 yang beroperasi 24 jam sehari boleh dihubungi melalui e-mel: cyber999@cybersecurity.my atau telefon 1-300-88-2999 ataupun melalui laporan atas talian di laman web www.cybersecurity.my dan www.mycert.org.my ataupun melalui pesanan ringkas (SMS) ke nombor 019-2813801 atau faks ke nombor 03-8945 3442.



ARKIB : 07/01/2010 (www.utusan.com.my)

Add to Google

No comments: