Wednesday, January 26, 2011

Google akan buka pejabat di Malaysia

Google Akan Buka Pejabat Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Syarikat enjin carian, Google, akan meningkatkan pelaburan di Asia Tenggara tidak lama lagi untuk memberi perkhidmatan kepada para pengguna dan pengiklan bagi mengambil kesempatan daripada pertumbuhan luar biasa yang dijangka di kalangan pelbagai pengguna Internet.

Pengarah Urusan Asia Tenggara Google Julian Persaud berkata pelaburan itu akan termasuk membuka satu pejabat di Malaysia Rabu di mana bilangan pengguna Internet hari ini dicatatkan 17 juta.

Pembukaan pejabat Kuala Lumpur adalah sejajar dengan komitmen Google untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan produk tempatan yang akan memudahkan kehidupan masing-masing.

Persaud juga menyatakan bahawa pertumbuhan tinggi dijangka dari pasaran wayarles berikutan perkembangan persekitaran online di Malaysia yang berkembang dengan pantas melalui perkembangan signifikan yang berlaku di dalam akses Internet jalur lebar dan aktiviti e-niaga.

"Kami gembira untuk menjalin operasi terbaharu kami di sini di mana kami boleh menarik bakat tempatan berkualiti tinggi bagi membantu pengguna kami mendapatkan maklumat yang mereka ingini dan membantu kejayaan perniagaan Malaysia," katanya kepada pemberita pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir di sini hari ini.

Google telah membuka pejabat di Singapura dan Korea Selatan pada 2007.

Tidak lama lagi, Persaud berkata pencari pekerjaan secara online di Malaysia akan berupaya membuat perayauan bagi melihat peluang pekerjaan dan kekosongan jawatan di dalam bidang jualan, pemasaran dan perhubungan awam melalui www.google.com.my/jobs.

Sambil menyambut baik pembukaan pejabat tempatan itu, Mukhriz berkata kehadiran tempatan Google adalah satu komitmen terhadap Malaysia dan membuktikan kesesuaiannya sebagai hab multimedia serantau.

"Kami berharap kemasukan Google akan menggalakkan lebih banyak perniagaan tempatan untuk menggunakan perkhidmatan secara online dan meraih pasaran antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Malaysia Google Sajith Sivanandan berkata Malaysia adalah satu negara yang signifikan di segi ekonomi digitalnya dan penduduknya yang mahir perkara teknikal.

"Kami teruja mengenai rancangan melabur di Malaysia dan melalui penyelesaian carian dan paparan kami, kami berharap akan dapat membantu perniagaan kecil dan besar untuk berkembang. Kami juga berharap dapat menjangkau pasaran baharu dan menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi.

"Kami juga mempunyai sekumpulan pengguna tempatan yang khusus di Malaysia yang ingin kami kenali secara lebih rapat," kata Sivanandan yang sebelum ini mengetuai perniagaan pengiklanan online Google di Asia Tenggara.

Penembusan jalur lebar isi rumah di Malaysia kini dicatatkan 55.6 peratus, yang melepasi sasaran 50 peratus bagi tahun lepas.



-- BERNAMA

Source & Credit : http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=559535

No comments: