Friday, July 30, 2010

Teknik godam komputer mesin ATM didedah

LAS VEGAS 29 Julai - Seorang penggodam menemui kaedah memaksa mesin juruwang automatik (ATM) mengeluarkan wang dengan menggodam komputer yang berada di dalamnya.

Demonstrasi serangan itu dilakukan semalam yang disasarkan kepada mesin ATM tunggal. Namun ia mungkin dapat digunakan terhadap mesin ATM kendalian bank-bank biasa.

Penjenayah sejak dulu lagi mengetahui mesin ATM boleh diceroboh.

Terdapat pelbagai jenis serangan digunakan hari ini, menggunakan teknologi canggih hinggalah tindakan nekad seperti, memasukkan pembaca kad palsu bagi mencuri nombor kad, menyorokkan kamera kecil bagi mendapatkan nombor PIN, menutup slot yang mengeluarkan wang malah melarikan mesin ATM menggunakan lori sebelum dipecahkan kemudian.

Penggodam yang juga Pengarah Kajian Keselamatan syarikat IOActive Inc., Barnaby Jack mengambil masa selama dua tahun di apartmen Lembah Silikon miliknya yang dipenuhi mesin-mesin ATM yang dibeli secara dalam talian.

Ia adalah ATM seperti yang diletakkan di depan kedai serbaneka yang digodam dengan tujuan mencari jalan dengan mengeksploitasi kelemahan komputer di dalamnya.

Dia menunjukkan hasil ujiannya di persidangan Black Hat, satu perjumpaan tahunan yang diwujudkan dengan tujuan mendedahkan kelemahan terkini yang mengancam keselamatan komputer.

Serangannya mempunyai implikasi yang luas kerana menjejaskan pelbagai jenis ATM dan mengekploitasi kelemahan perisian serta keselamatan yang digunakan industri perbankan.

Ucapannya adalah antara yang paling dinanti-nantikan dalam persidangan ini kerana pada tahun lalu ia dibatalkan kerana bimbang ciri-ciri keselamatan belum dilaksanakan pada mesin-mesin ATM. - AP


Souce and credit : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

No comments: