Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/03/28
Pengguna  internet hari ini turut jadi mangsa peras ugut, bunuh
KECANGGIHAN  teknologi bukan sekadar memudahkan urusan seharian, ia turut membawa  kesan yang perlu dibayar dengan harga mahal.
Tidak ramai tahu  perbandingan nisbah kebarangkalian jenayah siber kini pada tahap 1:5  berbanding jenayah pecah rumah hanya 1:30. Sememangnya membimbangkan,  namun ia tidak diberikan perhatian sepatutnya atas alasan kita tidak  melihat penjenayah siber. Tanpa kita sedar peningkatan mendadak jumlah  pengguna ruang siber yang berinteraksi di laman sosial seperti Facebook,  Friendster dan Twitter sebenarnya antara punca meningkatkan lagi risiko  menjadi mangsa jenayah siber.
Mengikut statistik Symantec Norton  Security Response, syarikat yang menawarkan perlindungan, penyimpanan  dan pengurusan sistem penyelesaian komputer global, jenayah siber  berlaku setiap 0.25 saat di seluruh dunia yang meliputi peras ugut,  ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan  malware.
Pengguna ruang siber kini bergantung kepada teknologi  untuk membolehkan mereka berkongsi fail, foto dan muzik pada bila-bila  masa daripada sebarang alat telekomunikasi.
Masalah mula timbul  apabila kecenderungan pengguna mengejar kepantasan teknologi siber tidak  setara dengan kesedaran untuk melindunginya daripada diceroboh  penjenayah siber.
Kelemahan ini ditambah dengan jangkaan peningkatan  penggunaan smartphone yang menguasai hampir separuh jualan telefon mudah  alih dunia seperti Android, iPhone dan iPad pada 2013.
Hakikatnya,  dalam masa empat minit saja selepas dihubungkan ke internet, sebuah  komputer peribadi yang tidak berperisai akan dijangkiti virus dengan  mudah.
Malah, setiap tiga saat pengguna laman siber akan hilang kata  laluan, maklumat kad kredit, maklumat bank dan pelbagai maklumat lain.
Ketua  Perniagaan Norton (Rantau Asia Selatan), Effendy Ibrahim, berkata  pemantauan aktiviti internet yang dilakukan baru-baru ini menyerlahkan,  dalam masa 24 jam selepas kejadian tsunami di Chile dan gempa bumi di  Haiti, pelbagai laman web bertujuan mengutip derma dibangunkan,  sedangkan laman web ini mengandungi banyak perisian palsu yang cuba  memporak-perandakan dan mencuri data peribadi pengguna ruang siber.
“Insiden  terbaru berlaku di Jakarta, Indonesia dan masih dalam siasatan  membabitkan seorang gadis yang berkenalan dengan seorang lelaki di  Facebook diajak bertemu atas alasan lelaki itu sakit tenat.
“Atas  dasar simpati, gadis itu bersetuju dan pergi ke tempat yang dijanjikan.  Malangnya selepas gagal memperkosanya, dia membunuh gadis itu.
“Dek  ghairah dan mudahnya mendapat ramai kawan tanpa perlu bertentang mata  di laman sosial, ternyata menarik pengguna ruang siber untuk terus  berkomunikasi menggunakan pengantara ini sehingga terlalu selesa dan  percaya untuk berkongsi maklumat peribadi, foto, video dan data,”  katanya yang mengakui pengguna internet lebih ramai kawan di laman  sosial berbanding di alam nyata.
Sementara itu, Ketua Perbankan  Virtual Maybank, Choong Wai Hong, berkata 1,200 kes penipuan perbankan  internet dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu yang  merangkumi 0.003 peratus daripada jumlah nilai transaksi membabitkan  RM348.5 bilion, membabitkan kerugian RM1 juta.
Beliau berkata,  walaupun peratusan kerugian masih rendah berbanding jenayah kewangan  lain, ancaman itu tidak harus dipandang rendah.
“Kita perlu  melihatnya dari perspektif lebih meluas dengan bilangan pelanggan  perbankan internet semakin meningkat, oleh itu kami perlu mengimbanginya  dengan menjadi lebih peka kepada segala bentuk ancaman,” katanya.
Mengikut  pengalaman Maybank, katanya, 72 peratus jenayah siber yang dilapor  membabitkan kecuaian pelanggan seperti mendedahkan kata laluan dan  maklumat peribadi secara sedar.
Untuk mengatasinya, Maybank  menjalin usaha sama dengan firma keselamatan bagi mengesan secara  proaktif serta menangani kes penipuan, menjalin kerjasama rapat sesama  bank, meningkatkan perkhidmatan keselamatan dan bekerjasama dengan  polis, selain menganjurkan kempen kesedaran awam.
Cybersecurity,  agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengakui isu  keselamatan yang dihadapi pengguna komputer dan internet meningkat  berikutan penggunaan teknologi jalur lebar yang bertambah.
“Lebih  700 kes dilaporkan kepada Cyber999 sehingga Februari tahun ini manakala  sepanjang tahun lalu mencecah 3,600 kes,” kata Ketua Pusat Bantuan  Tindak Balas Kecemasan Komputer MyCert dan Cyber999, Adli Abdul Wahid.
Beliau  berkata, dalam tempoh tiga bulan, MyCert mengesan 75 serangan virus  melalui komputer atau e-mel. Walaupun jumlah itu mungkin kecil, impak  buruknya mampu menjangkiti 1.6 juta komputer di Malaysia.
INFO
Jenayah  siber
# Nisbah kebarangkalian jenayah siber kini pada tahap 1:5  berbanding jenayah pecah rumah hanya 1:30.
# Jenayah siber  berlaku setiap 0.25 saat di seluruh dunia yang meliputi peras ugut,  ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan  malware.
# Setiap tiga saat pengguna laman siber akan hilang kata  laluan, maklumat kad kredit, maklumat bank dan pelbagai maklumat lain.
#  1,200 kes penipuan perbankan internet dikesan dalam tempoh Januari  hingga Jun tahun lalu yang merangkumi 0.003 peratus daripada jumlah  nilai transaksi membabitkan RM348.5 bilion, membabitkan kerugian RM1  juta.
Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramaitakpekarisikojenayahsiber/Article
Kredit : http://www.bharian.com.my/
 
No comments:
Post a Comment