09 Februari, 2010 21:08 PM
KUALA  LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Meskipun jenayah siber perbankan  Internet masih di paras yang boleh ditangani, negara masih perlu  melahirkan lebih ramai pakar keselamatan maklumat, demikian menurut  CyberSecurity Malaysia.
 "Saya tidak mahu mendakwa bahawa kita kekurangan pakar atau pakar kita  sudah mencukupi untuk menyelesaikan masalah tetapi kita perlu  bekerjasama bagi melahirkan lebih ramai pakar," kata Ketua Pegawai  Eksekutifnya Lt Kol (Bersara) Husin Jazri.
 Beliau berkata dengan bilangan pengguna Internet yang semakin meningkat  dan aliran sekarang yang menuju ke arah penggunaan lebih canggih  seperti perbankan mudah alih, negara perlu bersedia dalam segenap segi,  terutamanya dengan pakar keselamatan maklumat.
 Ketika ini, Malaysia mempunyai kira-kira 16 juta pengguna Internet,  katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan di  Seminar RSA CyberSecurity 2010, di sini, pada Selasa.
 Mengenai perbankan dalam talian, Husin berkata pihak yang paling  terjejas akibat daripada jenayah siber adalah pengguna dan bukannya  institusi kewangan.
 "Saya tidak bimbangkan bank-bank. Mereka mempunyai banyak wang untuk  menjamin keselamatan sistem mereka. Mereka boleh mendapatkan perunding  terbaik dunia untuk memeriksa sistem keselamatan mereka," katanya.
 "Manusia yang menerima kesan, bukan bahagian teknologi. Pengguna  menjadi mangsa. Apabila pengguna berkomunikasi dengan bank, mereka  terdedah kepada ancaman kejuruteraan sosial, skim penipuan dan  ancaman-ancaman lain."
 Menurut Husin, pengguna dalam talian perlu sedar bahawa bank-bank tidak  pernah membuat penyenggaraan dalam talian bagi pelanggan mereka  berkaitan dengan perbankan Internet.
 "Kami perlu memberi pendidikan kepada pengguna tentang hakikat ini yang  mana boleh membantu membendung masalah apabila mereka menyedari akan  aspek ini," katanya.
 Daripada sejumlah 3,564 kes yang dilaporkan tahun lepas, 1,022  merupakan kes penipuan dan pemalsuan yang menyumbang satu pertiga  daripada kes, kata Husin.
 "Kita harus berkongsi pengetahuan dan mengenal pasti strategi yang  perlu untuk menangani ancaman seperti peningkatan risiko menceroboh  sistem keselamatan, pencurian identiti, emel penipuan dan keganasan  siber," katanya.
 -- BERNAMA
Sumber Capaian : Bernama.com
 
No comments:
Post a Comment